Kenapa DAP bimbang subjek Sejarah?
oleh Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah, Pakar Rujuk di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya
October 29, 2010
Persepsi yang sama tentang masa lalu
Harapan yang sama untuk masa depan
Itulah matlamat yang hendak dituju
Pengajaran sejarah memegang peranan
Hubaya hubayah dakyah DAP
Mengungkit-ungkit isu perkauman
Subjek Sejarah seragamkan persepsi
Sekali-kali dihalang jangan
Kenapakah DAP tiba-tiba seperti melatah dan melenting bila Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Sejarah akan dijadikan sebagai salah satu subjek wajib lulus untuk memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013?
Pengumuman itu sepatutnya disambut baik dan dialu-alukan sebagai satu langkah penting untuk membina rasa kebersamaan di kalangan generasi muda. Rasa kebersamaan (persamaan persepsi tentang sejarah masa lalu dan persamaan harapan untuk masa hadapan) adalah salah satu syarat utama untuk membina sebuah negara bangsa.
Dan ini akan dapat dicapai melalui satu silibus pelajaran Sejarah yang seragam yang sama-sama dipelajari oleh semua murid dan pelajar pada setiap peringkat sistem persekolahan kita. Begitulah seharusnya satu reaksi yang sihat terhadap pengumuman Muhyiddin itu.
Tetapi seorang pemimpin penting DAP, Tony Pua Kiam Wee telah memberi reaksi yang negatif dan tergesa-gesa mengadakan sidang media dan menzahirkan sikap buruk sangka dan rasa bimbang kononnya dasar baharu tentang pelajaran dan pengajaran Sejarah itu nanti akan menjadi satu “percubaan sembrono untuk mengindoktrinasikan para pelajar kita dengan satu tafsiran sempit tentang Perlembagaan.”
Dia bimbang (berprasangka?) kiranya sukatan baru pelajaran Sejarah itu nanti hanya akan tertumpu kepada Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan dan perkara-perkara lain berkaitan hak-hak keistimewaan Melayu.
Sekiranya Tony Pua mempunyai sikap yang lebih positif (bebas daripada sebarang prasangka negatif) mungkin akan lebih bertanggungjawab jika komentarnya berbunyi seperti ini: “Semoga dasar baru subjek Sejarah itu akan memberi peluang kepada generasi muda kita untuk melalui satu proses sosialisasi yang lebih sihat dan berkesan ke arah pembinaan satu negara bangsa.”
Tetapi untuk mengharapkan dia berkata begitu, mungkin satu perkara yang sia-sia sahaja, kerana itu bercanggah dengan agenda politiknya.
Dalam sidang media tersebut (yang tersiar dalam sebuah portal berita) Tony Pua juga telah merujuk pandangan satu pihak lain yang mendakwa bahawa keutamaan yang diberi kepada subjek Sejarah sebagai “wajib lulus” untuk dapat Sijil SPM pada masa ini adalah illogical kerana kononnya tidak sesuai dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.
Menurut mereka, seperti yang dikutip oleh Tony Pua, yang lebih patut diberi keutamaan ialah pengajaran Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.
Ertinya, secara tidak langsung dia cuba hendak mengalihkan perhatian kepada perkara lain dan melengah-lengahkan (jika tidak hendak dikatakan ‘memperlekeh’) kepentingan pengajaran dan pembelajaran sejarah dalam proses pembentukan sebuah negara bangsa.
Rasanya didorong oleh “prasangka negatif” itu jugalah maka Tony Pua menggesa Menteri Pelajaran supaya menubuhkan satu “badan penasihat bebas” untuk “merombak semula” (overhaul) subjek Sejarah itu sebelum dijadikan mata pelajaran wajib.
Dia mahu supaya badan penasihat bebas itu turut dianggotai oleh wakil-wakil Majlis Peguam (Bar Council) dan hakim-hakim ternama yang sudah bersara di samping pakar-pakar sejarah.
Saya melihat beberapa perkara tersirat yang menggusarkan dalam reaksi Tony Pua terhadap hasrat kerajaan untuk memberi keutamaan subjek Sejarah dalam sistem persekolahan kita.
Pertama, nada ‘sarkastik’ dan prasangka negatifnya, memaksa kita untuk bertanya apakah yang dia mahu sebenarnya dan kenapa dia begitu “takut” terhadap subjek Sejarah. Masing-masing kita mungkin mempunyai jawapan sendiri terhadap soalan seumpama itu.
Tony Pua cuba hendak “mempolitikkan” satu isu pendidikan. Di satu pihak dia cuba hendak memprojeksikan diri dan partinya sebagai “jaguh” yang senantiasa mengungkit-ungkit hak keistimewaan Melayu (terutama Fasal 152 & 153 Perlembagaan) dan dengan demikian secara halus ingin memenangi hati siapa-siapa sahaja yang “anti Melayu” (termasuk barangkali orang Melayu yang mengaku “liberal’).
Di satu pihak lain dia ingin melakukan “provokasi halus” terhadap MCA dan menyebabkan parti komponen BN yang dianggotai oleh orang-orang Cina itu berada dalam keadaan serba salah. Adakah MCA akan membiarkan dirinya menjadi “proksi” DAP dalam BN? Atau adakah MCA akan mengambil sikap yang lebih matang dan tidak membenarkan dirinya “lebih DAP” daripada Lim Kit Siang.
Apabila Tony Pua mencadangkan penubuhan “badan penasihat bebas” untuk “merombak” subjek Sejarah dalam sistem persekolahan kita itu, pada hemat saya, tujuannnya ialah hendak “memerangkap” pimpinan kerajaan (Kementerian Pelajaran) agar terjerumus ke dalam satu “polemik yang membazir”).
Polemik yang berlarut-larutan mengenai isu ini mungkin akan memberi keuntungan politik kepada DAP. Tetapi satu akibat sampingan yang jangan sampai dilupakan ialah pelaksanaan dasar (keputusan) baru mewajibkan subjek Sejarah untuk lulus SPM itu mungkin akan terjejas dan tertangguh.
Oleh kerana itu langkah yang bijak di pihak kerajaan ialah berdiam diri dan tidak usah melayan cadangan penubuhan “badan penasihat bebas” seperti yang disarankan oleh Tony Pua itu. Motif terselindungnya semakin jelas apabila dia mahu seorang wakil Majlis Peguam (Bar Council) duduk dalam badan penasihat bebas yang dicadangkannya itu. Kenapa Tony Pua tidak menyebut wakil Persatuan Sejarah Malaysia?
Akhurulkalam saya petik kutipan berikut yang pernah ditulis oleh seorang pengarang Amerika, Joseph Anderson (1836-1916): “ There is nothing that solidifies and strengthens a nation like reading the nation’s history, whether that history is recorded books, embodied in customs, instituitions and monuments.”
Muhyiddin telah berada di atas landasan dan jalan yang betul, jangan benarkan petualang-petualang politik menghalang hasrat mulia untuk mewajibkan mata pelajaran Sejarah sebagai salah satu syarat mendapatkan Sijil Pelajaran Malaysia. — Utusan Malaysi
No comments:
Post a Comment