PULAU PINANG 6 Feb. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad menegaskan beliau tidak akan melayan desakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng supaya meminta maaf berhubung kenyataannya mengenai pengedaran risalah 'My Balik Pulau' baru-baru ini.
Muhammad Farid sebaliknya membidas sikap terburu-buru Guan Eng yang menuduhnya sebagai rasis kerana mempertikaikan beberapa fakta sejarah dalam risalah berkenaan yang tidak tepat selain mempunyai unsur-unsur penghinaan kepada penduduk Kampung Balik Pulau.
''Saya membaca laporan akhbar dan melihat rakaman video sidang akhbar yang dilakukannya (Guan Eng) dan dia menuduh saya sengaja menimbulkan sentimen perkauman dan perasaan benci antara kaum terutamanya di Balik Pulau.
''Sedangkan saya hanya mempertikaikan isi kandungan risalah berkenaan memandangkan fakta yang ada di dalamnya tidak benar," katanya kepada kepada pemberita di sini hari ini.
Muhammad Farid sebelum ini menyatakan rasa kesalnya mengenai pengedaran risalah 'My Balik Pulau' di sekitar daerah berkenaan termasuklah di sekolah-sekolah, Pusat Internet Desa dan juga kawasan yang menjadi tumpuan ramai.
Selain menggunakan fakta yang salah, artikel berkenaan juga didakwa menghina orang Melayu di Balik Pulau yang dikatakan pelarian perang dan sanggup menggadai tanah semata-mata untuk mengadakan upacara besar-besaran seperti majlis perkahwinan.
Tertera pada risalah yang mengandungi 12 muka surat itu nama syarikat, Arts Ed sebagai penerbit selain Persatuan Pendidikan Seni Pulau Pinang dan ditaja oleh Majlis Pendidikan Pulau Pinang, Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Pulau Pinang dan syarikat telekomunikasi, Digi.
Guan Eng yang dipetik akhbar baru-baru ini bagaimanapun menafikan penglibatan mana-mana agensi kerajaan negeri dalam penerbitan risalah berkenaan.
Muhammad Farid berkata, sebagai anak jati Balik Pulau, beliau berhak mempertikaikan kandungan artikel tersebut kerana jauh lebih arif mengenai daerah berkenaan berbanding Guan Eng yang berasal dari Melaka.
Risalah itu, katanya, diterbitkan sekitar tahun 2010 dan diedarkan secara percuma pada Januari lalu.
''Guan Eng sendiri mempersoalkan mengapa logo kerajaan negeri digunakan tanpa kebenaran, jadi sepatutnya dia siasat pihak terlibat kerana logo kerajaan negeri tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya.
''Ini tidak, Guan Eng enggan mengulas fakta yang salah dalam risalah itu malah menyalahkan saya dan kerajaan negeri terdahulu walaupun ia diterbitkan pada tahun 2010 iaitu ketika era pentadbirannya sendiri," tegas beliau.
No comments:
Post a Comment