Tuesday, April 10, 2012

Nik Sapeia: Kecewa Pas Tinggal Perjuangan Islam


KOTA BHARU – Parti Progresif Penduduk (PPP) merasa sedih dan kecewa dengan Pas kerana sanggup menggadaikan maruah Islam yang diperjuangkan parti itu selama ini semata-mata tertarik sandiwara DAP dan PKR.
Naib Presidennya, Datuk Nik Sapeia Nik Yusof berkata, walaupun Pas mengekalkan pemerintahannya di Kelantan dan menang di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) yang lalu, hakikatnya lima negeri ditadbir Pakatan Rakyat (PR) termasuk Pulau Pinang, Selangor dan Perak dikuasai sepenuhnya oleh DAP.
Beliau berkata, pada zahir sahaja menteri besar Kelantan, Kedah, Selangor dan Perak yang hanya dapat bertahan selama 11 bulan, diberikan kepada orang Melayu beragama Islam, tetapi di sebaliknya, pihak yang berkuasa penuh dalam menentukan corak pentadbiran keempat-empat negeri itu adalah Dap, yang mendapat sokongan kuat PKR.
“Kita tengok sendiri apa sudah jadi dengan Pulau Pinang yang ditadbir oleh DAP. Begitu juga Selangor, Kedah dan Kelantan. Perak walaupun dapat memerintah dalam tempoh yang singkat, telah meluluskan pajakan tanah kepada penduduk bukan Melayu di sebuah kampung selama 999 tahun.
“Semua ini kerja DAP. Mereka di belakang Pas dan PKR. Sungguhpun parti itu menang dengan kerusi minoriti, tetapi suara dan pengaruhnya mengatasi parti yang menang majoriti. Ini hakikat dan fakta yang dapat dilihat oleh semua pihak termasuk rakyat,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Nik Sapeia yang juga Pengerusi PPP Kelantan berkata, demi keghairahan Pas untuk bekerjasama dengan DAP, parti itu sanggup kehilangan Terengganu dalam PRU12 pada 2008, selain membuat keputusan mengejut untuk tidak lagi melaksanakan negara Islam dengan alasan tidak terkandung dalam al-Quran.
Beliau berkata, hudud Pas yang didraf dan dicanang sekian lama oleh pemimpin parti itu untuk dilaksanakan juga kini telah dibakulsampahkan demi menjaga hati DAP dan PKR yang memperkenalkan slogan baru iaitu Negara Berkebajikan.
“Selama ini Pas meyakinkan orang Melayu dan umat Islam dengan perjuangannya berlandaskan al-Quran dan hadis. Sekarang panduan mereka ialah suara atau arahan daripada DAP dan PKR. Apakah keuntungan diperolehi Pas dengan memberi sokongan padu kepada Dap? Melainkan menjadi hamba dan pak turut,” katanya.
Beliau turut melahirkan kebimbangan dengan pengecilan rizab Melayu di negeri pemerintahan PR apabila tapak masjid hendak dirobohkan untuk dibina kompleks beli belah, manakala tanah rizab untuk sekolah pula diambil sewenang-wenang untuk tujuan tertentu.
Malangnya, kata beliau, Pas didakwa hanya berdiam diri tanpa sebarang bantahan dengan apa yang berlaku itu, termasuk kerajaan Pas Kedah dan kerajaan PKR Selangor membatalkan rancangan hendak menutup kelab malam kerana takut kepada DAP.
Nik Sapeia berkata, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor yang juga Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Hassan Muhammad Ali telah dipecat dari parti itu kerana ingkar dengan arahan DAP supaya tidak memperbesar-besarkan isu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu sebuah gereja di Damansara Utama dan melarang penjualan arak di kedai 24 jam.
“Dr Hasan Ali telah dijadikan kambing hitam oleh Pas demi menunjukkan kepatuhannya kepada DAP dan PKR. Sikap retorik kepimpinan Pas ini menyebabkan rakyat sedar dan meninggalkan perjuangan parti itu secara perlahan-lahan,” katanya.
Menurutnya, perubahan itu memberi keyakinan kepada Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk terus membangun dan memajukan negara ini dengan membuat pelbagai perubahan dalam tempoh tiga tahun menjadi Perdana Menteri.
“Perubahan ketara ini dapat kita lihat dalam tiga tahun ini iaitu dari mundur kepada maju, lemah kepada kuat dan daripada mendapat keuntungan sikit kepada lebih banyak sehingga rakyat pelbagai lapisan dapat merasainya,” katanya. – Sinar Harian

No comments:

Post a Comment