Monday, April 9, 2012

Rentetan Pahit Manis Perjuangan UMNO Selama 66 Tahun !



Terlebih dahulu, ucapan syukur ke hadrat Ilahi kerana telah 66 tahun berlalu dan Allah masih memberkati wadah perjuangan UMNO untuk rakyat tanpa mengira kaum, bangsa, agama mahupun fahaman politik.
 Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau United Malays National Organisation, biasa dikenali sebagai UMNO atau PEKEMBAR adalah parti politik terbesar di Malaysia yang merupakan pengasas dan tulang belakang Barisan Nasional yang telah memerintah Malaysia tanpa putus sejak merdeka lagi.
 UMNO adalah sebagai parti penjaga nasionalisme Melayu atau ketuanan Melayu, akan tetapi UMNO tetap tidak mengabaikan bangsa lain.
 Menurut perlembagaan UMNO, asasnya adalah untuk berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara.
 Ia juga yang memperjuangkan hak-hak istimewa orang Melayu dan orang Bumiputera.
 UMNO hari ini dikenali sebagai parti yang terbesar dan menjadi teras pemerintahan negara dengan jumlah kerusi yang terbanyak dan pemimpin-pemimpinnya berperanan dalam membuat dasar-dasar.
 UMNO adalah antara parti bercorak demokratik yang tertua di negara-negara membangun dan masih kuat kedudukannya setelah melalui berbagai peristiwa dan cabaran.
 UMNO dihormati oleh kawan dan lawan di atas prinsip-prinsip keadilannya, ketegasan dan keupayaannya menjalankan dasar-dasar yang telah dipersetujui.
 Lahirnya UMNO adalah hasil dari percantuman pertubuhan-pertubuhan Melayu dengan berbagai aliran falsafah dan pendapat tetapi bersetuju mengambil tindakan bersama untuk survival bangsa Melayu.
 Satu himpunan besar-besaran yang dikenali sebagai Kongres Melayu Se-Malaya pertama telah diatur oleh Persatuan Melayu Selangor di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baharu, Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946 dan sebanyak 41 Pertubuhan-pertubuhan Melayu telah menghantar wakil masing-masing.
 Satu jawatankuasa yang terdiri dari Dato’ Onn Jaafar, Dato’ Panglima Bukit Gantang, Dato’ Nik Ahmad Kamil, Dato’ Hamzah Abdullah dan Encik Zainal Abidin Ahmad (Zaaba) telah dipilih untuk menyediakan draf Piagam atau Perlembagaan UMNO untuk dibentangkan dan diterima oleh Kongres Melayu Se-Malaya kelak.
 Berhadapan dengan rancangan Malayan Union yang dibawa oleh British selepas Perang Dunia Yang Kedua, pertubuhan-pertubuhan ini dengan sukarelanya membubar pertubuhan masing-masing demi membuka jalan kepada sebuah parti politik yang ulung sebagai pernyataan hasrat semua golongan dan lapisan masyarakat Melayu bagi memperjuangkan hak-hak mereka.
 Walaupun ada bangkangan yang hebat dari kaum Melayu, Kerajaan British tetap meneruskan rancangan mereka dan pada 1 April 1946 mengwujudkan Malayan Union.
 Orang-orang Melayu dan pertubuhan-pertubuhan Melayu terus membangkang dan tidak memberi sebarang sokongan terhadap Malayan Union.
 Di bawah rancangan British, dasar pro-Melayu sebelum Perang akan dirombak sekaligus, dan orang-orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini terpaksa bersaing dengan orang-orang mendatang, iaitu suatu kejadian yang tidak diduga sama sekali oleh mereka kerana sepanjang penjajahan British mereka diberi perlindungan dari ancaman golongan-golongan tadi di samping jaminan bahawa ini adalah negeri Melayu yang diperintah bagi pihak Raja-Raja Melayu.
 Rancangan Malayan Union yang dipaksakan ke atas mereka tanpa sebarang rundingan adalah amat menggemparkan.
 Jika sebelum ini orang-orang Melayu berpecah-pecah dengan berbagai sentimen kenegerian dan pemandangan yang sempit, sekarang mereka yang mula melihat realiti di depan mereka, telah bangkit menentang rancangan itu.
 Kebangkitan ini merupakan reaksi yang spontan dengan orang-orang Melayu bersatu hati dan tenaga agar kedudukan mereka terpelihara.
 Pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor Bahru, Kongres Melayu Se-Malaya ketiga dan perhimpunan agung pertama Pertubuhan Melayu Kebangsaan Melayu Bersatu atau PEKEMBAR (UMNO) telah berlangsung dan Piagam atau Perlembagaan (UMNO) telah diterima dan diluluskan oleh para peserta dan UMNO pun lahirlah secara rasmi.
 Penubuhan UMNO pada 11hb Mei 1946, dengan Dato’ Onn bin Jaafar sebagai pemimpinnya yang pertama dapat dikatakan sebagai mengelak orang-orang Melayu di Tanah Melayu dari tenggelam di bawah satu perkembangan politik dan ekonomi yang begitu deras dan menguntungkan golongan-golongan lain yang lebih maju.
 Nasionalisme Melayu sebelumnya agak malap kerana wujudnya penduduk berbilang kaum sebagai factor penghalang, penekanan oleh penjajah, tendensi masyarakat Melayu untuk berpecah-belah mengikut negeri, ketiadaan kesedaran politik yang meluas serta terdapat kemakmuran ekonomi yang membolehkan kehidupan sederhana kepada sebilangan besar rakyat.
 Semangat kebangsaan Melayu yang baru meletus secara meluas itu perlu untuk menjaga keutuhan masyarakat yang sejak beberapa lama merupakan penduduk asal kepada kawasan ini.
 Seluruh penentuan hidup di negara ini sekarang ada hubungan langsung atau tidak langsung dengan nasionalisme Melayu.
 Tetapi nasionalisme ini bukan suatu yang sempit kerana telah diperluaskan untuk merangkumi lain-lain kaum demi perpaduan dan kestabilan negara.
 Di peringkat awal pergerakan kearah kemerdekaan adalah disedari tidak mungkin bagi sesuatu kaum memaksa politiknya dan menolak kenyataan hadirnya kaum-kaum lain yang juga berhak untuk menyertai dalam politik negara.
 Usaha-usaha dibuat bagi mengeratkan kerjasama di antara kaum sehingga tertubuhnya Perikatan UMNO-MCA pada awal 1952 bila kedua-dua parti ini bertanding dalam pilihanraya Perbandaran Kuala Lumpur.
 Kemenangan telah diperolehi oleh kedua-duanya dan ini membawa kepada kerjasama yang lebih jauh menjelang kemerdekaan.
 Pada tahun 1955 bagi menghadapi pilihanraya umum yang pertama, Perikatan UMNO-MCA-MIC telah diwujudkan sebagai lambang permuafakatan dan kerjasama yang rapat antara kaum-kaum.
 Dengan pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra, kemenangannya yang cemerlang telah diperolehi.
 Maka jelaslah kepada pihak penjajah bahawa kaum-kaum di Tanah Melayu adalah bersatu hati dan boleh merdeka.
 Selepas kemerdekaan, UMNO terus menunjangi Perikatan UMNO-MCA-MIC memerintah Malaysia (Tanah Melayu).
 UMNO bukan sahaja parti dominan didalam Malaysia malah UMNO juga adalah dominan didalam Perikatan.
 Pada 21 Julai 1964, berlaku rusuhan kaum paling teruk di hari sambutan Maulidur Rasul yang menyebabkan Singapura dikeluarkan dari Malaysia dan PAP diharamkan.
 Selepas itu, tertubuh pula DAP pada 1965 iaitu 2 bulan selepas pengeluaran Singapura dari Malaysia dan pengharaman PAP.
 Berlaku pula sekali lagi rusuhan kaum yang maha dasyat iaitu 13 Mei 1969 yang dicetuskan DAP dan GERAKAN, maka tindakan diambil.
 UMNO sekali lagi dirombak bersama komponen lainnya iaitu GERAKAN dan PAS menyertai bersama maka terbentuk Barisan Nasional yang masih  lagi ditunjangi UMNO, walaupun kemudiannya PAS dikeluarkan dari Barisan Nasional berikutan rusuhan juga.
 Dugaan datang lagi buat UMNO, pada 1987 parti UMNO terbubar dengan keputusan mahkamah membatalkan pendaftaran UMNO.
 Ada pihak dalam UMNO menyalahkan Dr. Mahathir membiarkan perkara tersebut dibawa ke mahkamah dan membiarkan mahkamah membuat keputusan.
 Dr. Mahthir ketika itu ditentang oleh kem Tengku Razaleigh sebagai 'team B'. Dr. Mahathir disokong oleh Musa Hitam dalam 'Team A'.
 Dengan kuasa yang masih ada sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir berjaya menyingkir team penentangnya dan mandapatkan semuala harta-harta UMNO.
 Tengku Razaleigh yang kecewa menubuhkan parti baru 'Semangat 46' dengan sokongan Datuk Suhaimi Kamaruddin (Presiden belia 4B).
 Walau apa pun yang telah terjadi kepada UMNO, ia tetap kukuh memerintah Malaysia.
 2010 menjadi dimensi baru bagi UMNO di Malaysia, yang memulakan tahun baru dengan pelancaran program ‘UMNO Juara Rakyat’.
 Program ini dilancarkan oleh Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, YAB Datuk Seri Mohd. Najib Tun Haji Abd. Razak.
 Sesungguhnya program ini merujuk kepada hasrat UMNO untuk menjuarai kehidupan rakyat, menjuarai pembelaan rakyat, menjadi johan dalam membangun rakyat dan sentiasa berada di barisan hadapan untuk rakyat.
 Menerusi program ini juga akan meletakkan UMNO berada nombor satu di hati rakyat dengan rakyat juga sentiasa berada di tempat utama dalam perjuangan UMNO.
 Malah jika berlaku malapetaka, maka UMNO yang pertama akan datang membantu dan konsep ‘juara’ itu sendiri akan meletakkan pemimpin bekerja dengan lebih keras agar menjadi nombor satu.
 Program tersebut bukanlah untuk bermegah atau sombong khususnya apabila menyebut juara, tetapi hakikatnya selama ini UMNO dan BN yang merancang dan melaksana semuanya termasuklah projek pembangunan.
 Sememangnya tiada siapa yang dapat menafikan apa lagi memadam hakikat pembangunan untuk rakyat dalam semua bidang termasuk pendidikan, kebajikan, wanita, keluarga, belia, pertanian, pekerjaan, kesihatan, kerohanian dan lain-lain lagi adalah merupakan perjuangan UMNO dan BN yang melaksanakan tetapi ada rakyat yang kurang sedar bahawa yang menjuarai kehidupan mereka adalah UMNO/BN.
 Melalui Program UMNO Juara Rakyat, turut disediakan aktiviti seperti Forum Perdana, pertandingan syarahan 1Malaysia, pertunjukan kebudayaan masyarakat Cina dan India, pertandingan nasyid, futsal serta pertunjukan kebudayaan 1Malaysia.
 Selain sambutan peringkat negeri, semua 191 bahagian UMNO di seluruh negara juga akan melaksanakan program tersebut pada skala lebih kecil selama dua hari satu malam setiap bulan.
 Dan pada hari ini, kita, rakyat Malaysia berada pesat dalam program transformasi yang dijana oleh UMNO melalui Barisan Nasional.
 Program transformasi cetusan minda dari Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Dato' Sri Haji Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak adalah bagi kelangsungan Wawasan 2020 yang lahir dari idea Tun Dr Mahathir, bekas Perdana Menteri kita yang amat disegani dan dihormati.
 Jasa UMNO kepada rakyat memang tidak dapat dinafikan dari sebelum merdeka hinggalah ke hari ini walaupun ada pihak-pihak yang berniat jahat cuba menyebar dakyah kebencian dan meleraikan ikatan kesepaduan rakyat.
 Sempena ulangtahun ke-66, UMNO akan mengadakan sambutan ulang tahun ke-66 parti itu pada 1 hingga 13 Mei dengan acara kemuncak berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Mei.
 Ini telah diumumkan sendiri oleh Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri YAB Dato' Sri Haji Mohd Najib Tun Razak.
 Perdana Menteri berkata, pelbagai pengisian sambutan akan diadakan termasuk majlis bacaan tahlil dan surah Yasin, Anugerah Melayu Terbilang, Larian Melayu UMNO, Karnival Hari UMNO, pertandingan futsal, konvoi motosikal dan forum media.
 Majlis Tertinggi (MT) setuju dengan konsep sambutan hari ulang tahun UMNO ke-66 tahun ini yang jatuh pada tarikh lahir UMNO iaitu 11 Mei. Kita rangka sambutan yang menjangkau tempoh lebih lama dan pada 11 Mei ini, kita akan cuba mengisi stadium dengan kehadiran yang agak ramai," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO di Menara Dato' Onn.

 Senarai Presiden UMNO;
 1 - Dato' Onn Jaafar
2 - Tunku Abdul Rahman
3 - Tun Abdul Razak
4 - Tun Hussein Onn
5 - Tun Dr Mahathir Mohamad
6 - Tun Abdullah Ahmad Badawi
7 - Dato' Sri Haji Mohd Najib Tun Abdul Razak
 Fakta : 6 daripada 7 Presiden UMNO adalah Perdana Menteri Malaysia.
 Oleh itu, jom la kita ramai-ramai memeriahkan sambutan ulangtahun UMNO yang ke-66 di Stadium Nasional Bukit Jalil Mei ini sebagai mengenang suka duka dan meraikan perjalanan perjuangan UMNO untuk rakyat sepanjang 66 tahun yang penuh bermakna ini !!!


No comments:

Post a Comment