Sunday, February 6, 2011

Nik Aziz letak syarat muzakarah



TUMPAT 6 Feb. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meletakkan syarat supaya debat antaranya dengan Majlis Fatwa Kebangsaan atau pihak berkuasa perlu dilakukan secara terbuka.

Beliau berkata, ia penting bagi memastikan semua pihak dapat menilai perjalanan debat dan tidak dimanipulasikan oleh mana-mana pihak.

"Kerana apa orang Melayu tolak Islam, ada orang nasionalis tolak Islam. Saya nak soal itu sahaja, kalau jawapan dia sama dengan Islam, saya boleh terima, jawapan itu mesti sama dengan ajaran Nabi Muhamad.

"Debat ini ajaran agama, masyarakat di kedua-dua belah pihak kena berdebat untuk memberi pendapat dan mendapatkan kebenaran," katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan Skim Bantuan Makanan Untuk Rakyat Termiskin di sini hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan Nik Abdul Aziz tiada sebarang masalah jika Majlis Fatwa Kebangsaan mahu mengkaji semua kenyataannya yang didakwa merosakkan akidah serta memecahbelahkan umat Islam di negara ini.

Malah Menteri Besar Kelantan itu juga bersedia untuk berdebat dengan dengan sesiapa sahaja bagi menjelaskan pendiriannya mengenai kenyataan-kenyataan yang pernah dikeluarkan itu.

Sebelum ini, Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran UMNO Kelantan, Prof. Madya Mohd. Noor Deris meminta Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja-Raja mengkaji kenyataan Nik Abdul Aziz yang didakwa merosakkan akidah serta memecahbelahkan perpaduan umat Islam di negara ini.

Beliau turut mencabar Nik Abdul Aziz untuk berdebat bagi mencari kebenaran.

Nik Abdul Aziz bagaimanapun menegaskan, debat itu akan hanya dilakukan dengan mereka yang mempunyai kuasa sahaja dan bukan dengan Mohd. Noor seperti mana yang dilaporkan oleh sebuah akhbar semalam.

"Debat dengan Mohd. Noor mengarut, saya hanya debat dengan yang berkuasa sahaja, kalau yang duduk di universiti tidak payah, Mohd. Noor tidak ada dalam senarai.

"Kaedah debat ini adalah letak al-Quran dan hadis di depan supaya dapat mencari kebenaran,'' katanya.

Semalam, laporan muka depan sebuah akhbar menyatakan Nik Abdul Aziz sedia berdebat dengan Mohd. Noor bagi menjelaskan beberapa kenyataan yang mengelirukan yang dikeluarkan oleh pemimpin Pas itu.

No comments:

Post a Comment