Oleh RAITINI RAHMAN
KOTA BHARU – Pas Kelantan enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan bakal kehilangan empat kerusi parlimen pada pilihanraya umum ke 13 akan datang sebaliknya menyifatkan masih terlalu awal menentukan kedudukan kerusi-kerusi terbabit.
Pengarah Jentera Pilihanraya Pas Kelantan, Wan Nik Wan Yusof berkata, ia adalah soal dalam parti yang tidak wajar untuk dibincangkan secara umum.
“Dalam hal ini ia ada pro dan ada kontranya. Kita tak beh nak kata ‘yes’ dan tak boleh juga nak kata ‘no’. Semuanya masih dalam proses persiapan dan persediaan.
“Kita sentiasa memerhati keadaan semasa serta membuat analisis berhubung keadaan itu. Kita akui memang kawasan yang wujud pertambahan undi an ada juga yang mengalami pengurangan,” katanya kepada DetikPerubahan.com di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan beberapa blog pro pakatan rakyat yang mengatakan Pas Kelantan bakal kehilangan empat kerusi parlimen yang melibatkan kerusi Parlimen Pasir Puteh, Machang, Bachok dan Kuala Krai.
Blog tersebut menyebut ketiadaan calon, masalah dalaman Pas dan sekutu PKR serta sikap wakil rakyat sedia ada yang dilihat gagal menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka kepada masyarakat setempat.
Difahamkan pemimpin sedia ada bukan sahaja ditolak oleh pengundi atas pagar tetapi juga penyokong kedua-dua parti.
Wan Nik bagaimanapun menjelaskan, dakwaan itu tidak boleh dinilai sepenuhnya memandangkan masih terdapat banyak faktor yang perlu diberikan perhatian dalam menentukan kedudukan kerusi di parlimen terbabit.
“Masih banyak yang perlu difikirkan. Isu setempat juga masih belum dikupas dan ia perlu dikaji secara spesifik.
“Banyak faktor yang perlu dikaji. Ia termasuklah faktor yang membabitkan diri calon itu sendiri dan juga isu tempatan dan isu nasional yang akan diambil kira kesemuanya,” katanya.
No comments:
Post a Comment