Tuesday, June 10, 2014

Mourinho ramal tiada pasukan baharu akan muncul juara di Brazil


Mourinho ramal tiada pasukan baharu akan muncul juara di BrazilJose Mourinho
LONDON: Jose Mourinho meramalkan tidak akan ada pasukan yang bakal muncul juara buat pertama kali dalam kancah Piala Dunia 2014 bermula di Brazil, esok.

“Saya akan amat terkejut jika ada kejutan besar nanti,” katanya di laman Mail Online, hari ini. “Saya akan amat terkejut jika ada pasukan yang memenangi trofi ini buat kali pertama.” 


Pengurus Chelsea itu menambah: “Pasukan dari Amerika Selatan anggap mereka kuat. Ada dua atau tiga pasukan yang mampu memburu kejayaan.” 

Mourinho tidak melihat ada pasukan dari Afrika akan membuat kejutan besar dan melihat kemampuan mereka setakat layak ke suku akhir sahaja tapi memilih wakil Eropah ada ramuan juara.

“Ada dua tiga pasukan negara dari Eropah dan mungkin ada pasukan kurang ternama akan menyerlah. Tapi saya tidak melihat mereka ada ramuan untuk mencipta kejutan besar,” kata pengendali berusia 50 tahun itu.

Jelas sekali, pada pengamatan Mourinho pasukan seperti Brazil, Sepanyol, Jerman, Argentina atau Uruguay yang pernah menjuarai Piala Dunia sebelum ini memiliki karakter untuk menjulang trofi emas itu sekali lagi. Bekas juara lain adalah Perancis, England dan Itali.

Apabila ditanya peluang England, Mourinho akur dia tidak ada idea bagaimana persembahan barisan The Three Lions kerana lazimnya aksi pemain sukar diramal. 
“Saya selalu mengharapkan sesuatu yang positif daripada England tapi saya juga tidak terkejut apabila cabaran tidak memihak mereka di pentas dunia,” tambahnya.

Dia menambah: ‘Memang ada beberapa pemain yang tidak beraksi bersama pasukan kelab ternama di negara tapi mereka ada pemain dari Chelsea, Manchester United, Liverpool, Manchester City dan Arsenal. Jadi ada lima kelab teratas dan skuad kebangsaan harus ada kualiti. Mereka juga ada pengalaman dan pengalaman antarabangsa. England memiliki semua dan kenapa mereka tidak menjadi antara calon juara.” 

INFO PIALA DUNIA
Pasukan juara

Brazil - 5 kali (1958, 1962, 1970, 1994, 2002) 
Itali - 4 (1934, 1938, 1982, 2006)
Jerman - 3 (1954, 1974, 1990) 
Argentina - 2 (1978, 1986) 
Uruguay - 2 (1930, 1950) 
Perancis - 1 (1998)
England - 1 (1966)
Sepanyol - 1 (2010) 

No comments:

Post a Comment