Wednesday, October 10, 2012

Hasan pertahan Nasharuddin, tempelak pemimpin PAS



Post Pic

SHAH ALAM: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali menempelak pemimpin PAS yang terus mengaitkan bekas Timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dengan Umno, setiap kali pemimpin itu lantang menegur parti itu yang semakin tersasar hala tujunya.

Hasan kemudiannya merujuk kenyataan Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Haron Din sebelum ini yang turut menegur pemimpin parti itu kerana dilihat terlalu menjaga hati parti DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) demi misi menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) kelak.

"Adakah kenyataan-kenyataan yang hampir serupa nadanya yang keluar dari mulut Ketua Dewan Ulama, Timbalan Mursyidul Am PAS dan lain-lain pemimpin yang mengeluarkan kenyataan yang agak keras mengenai halatuju PAS dewasa ini juga dikaitkan dengan UMNO?

Adakah semua pendapat yang menyelar PAS sudah tergelincir daripada landasan perjuangan menegakkan Negara Islam dan melaksanakan Hudud juga didalangi oleh UMNO? Adakah suara-suara yang semakin lantang di kalangan ahli dan penyokong PAS di merata tempat menyuarakan ketidakrelaan mereka menjadi kuda tunggangan DAP dan PKR juga kerja UMNO?," soal Hasan dalam satu kenyataan medianya.

Nasharuddin semalam ketika membentangkan kertas kerja di Seminar Dakwah Islamiyyah anjuran MUAFAKAT di PWTC, menegur PAS agar tidak terlalu mengejar kuasa sehinggakan perjuangan agama jatuh ke tanggan kedua. Beliau juga menyatakan kehairanannya, mengapa usaha berbincang mengenai masalah umat Islam terutama melibatkan dua parti politik terbesar orang Melayu atau Islam iaitu Umno dan PAS sering dilihat sebagai 'taboo' (larangan).

Beliau juga melahirkan kebimbangannya betapa umat Islam akan terus berpecah belah dalam tempoh lima, 10 atau 15 tahun akan datang, memandangkan isu perpaduan antara kedua-dua parti itu langsung tidak boleh dibicarakan.

Mengulas perkara itu, Hasan berkata Nasharuddin hanya mengulangi pendiriannya yang bimbang PAS semakin tunduk pada DAP dan PKR dalam banyak perkata termasuk isu pelaksanaan Hudud.

"Nasharuddin tidak berganjak dari segi posisi yang beliau ambil mengenai penguasaan DAP dan PKR terhadap PAS dan juga penghinaan terhadap Islam yang dilakukan oleh pimpinan DAP dan PKR.

"Jelas kelihatan pimpinan PAS benar-benar ketandusan modal sehingga mengambil jalan pemikiran yang paling mudah dan dangkal bahawa sebarang kenyataan yang bertentangan dengan kemahuan golongan parasit dalam PAS pada setiap ketika dikaitkan dengan UMNO," katanya lagi.

Hasan kemudiannya melahirkan rasa kesalnya apabila ramai dikalangan pemimpin PAS beria-ia mahu Ahli Parlimen Bachok itu dikenakan tindakan disiplin, ditambah buruk dengan sikap sesetengah pemimpin DAP yang menunggu Nasharuddin dikenakan tindakan kerana mengaitkan parti itu dengan 'bacaan doa' agar Malaysia menjadi sebuah negara Kristian.

"Pimpinan PAS yang tidak sedarkan diri ini perlu melihat ke arah cermin menyaksikan wajah sendiri disamping melihat kerja-kerja 2 lagi rakan kongsi mereka DAP dan PKR. Kedua-dua rakan kongsi ini dikatakan begitu licik dan semakin berani mengutuk dan menghina Islam," ujarnya.

Ketika berucap di PWTC semalam, Nasharuddin mendedahkan DAP Sarawak pada tahun lalu mengadakan sebuah majlis kesyukuran dan antara aturcaranya adalah bacaan doa agar agama rasmi negara ini ditukarkan kepada Kristian.

Bagaimanapun, Pengerusi DAP Sarawak menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia sebagai tuduhan berniat jahat.

Mengulas sikap yang diambil Majlis Syura Ulama PAS sebelum ini yang berkeputusan tidak membincangkan isu Nasharuddin yang menyertai rombongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Mekah baru0baru ini, Hasan berkata majlis itu kembali fokus dan lebih relevan dalam mengangkat apa-apa isu untuk diketengahkan.

"Saya gembira melihat Majlis Syura Ulama telah mula kembali berwibawa. Saya harap Majlis Syura Ulama dapat mengambil tindakan drastik dalam masa terdekat membebaskan PAS daripada musuh-musuh Islam dari luar dan golongan parasit dari dalamnya," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment