Wednesday, July 25, 2012

Perbezaan Pendapat PAS, DAP Tanda Pembangkang Tak Mampu Tadbir Negara - Khairy


KUALA LUMPUR, 25 Julai - Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin menyifatkan perbezaan pendirian antara PAS dan DAP dalam pakatan pembangkang memberi mesej ketidakmampuan mereka mentadbir negara sekiranya mendapat peluang itu.
 
Beliau berkata perkara asas seperti soal perlembagaan, yang sepatutnya tidak menjadi masalah, dilihat masih menjadi isu kepada kedua-dua parti.

"Ini adalah peringatan atau 'reminder' kepada pengundi bahawa walaupun perkara asas, masih tidak ada persetujuan antara mereka (PAS dan DAP), dan bagi saya, ini boleh memudaratkan negara sekiranya mereka diberi peluang memerintah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa di sini Selasa.

Khairy mengulas polemik terbaru antara PAS dan DAP, yang menyaksikan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan membuat kenyataan berhubung kesediaan Karpal Singh berkompromi mengenai hukum hudud, yang dinafikan Pengerusi DAP itu.

Mengenai keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram, Khairy berkata keputusan itu membuktikan sistem kehakiman negara adalah bebas.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment