Wednesday, March 21, 2012

Mengapa Bangsa Melayu Jauh Ketinggalan?

Persoalan ini sudah lama berlegar di fikiran penulis. Mengapa bangsa melayu jauh ketinggalan dari segala segi sedangkan keistimewaan lebih banyak diterima berbanding bangsa lain di negara kita ini? Setelah penulis mengikuti dan mengkaji perkembangan yang berlaku di negara kita yang tercinta ini, penulis dapat merumuskan bahawa salah satu sebab utamanya adalah kerana sikap bangsa melayu itu sendiri. Kenapa penulis berkata begitu? Sebabnya mudah sahaja. Imbas kembali kejadian demonstrasi kecil yang berlaku baru-baru ini. Demonstrasi yang diketuai oleh seorang mahasiswa yang menuntut supaya AUKU dimansuhkan. Mengapa mahasiswa tersebut begitu bersungguh-sungguh menuntut supaya akta tersebut dimansuhkan sedangkan ianya tiada memberikan sebarang kepentingan kepadanya? Jawapannya mudah sahaja. Kerana mahasiswa tersebut tidak tahu berfikir. Kenapa penulis berkata begitu? Kerana, jika dia pandai berfikir, dia tidak akan membazirkan masa untuk berdemonstrasi tentang politik ketika masih bergelar penuntut. Perkara yang sepatutnya didahulukan ketika ini adalah menuntut ilmu supaya ia dapat menjadi bekalan untuk meneruskan kehidupan yang mulia di kemudian hari. Bandingkan mahasiswa tersebut dengan mahasiswa bangsa lain. Memang jauh bezanya kerana, mahasiswa bangsa lain tidak peduli tentang politik ketika belajar. Apa yang mereka pentingkan hanyalah mengejar ilmu supaya apabila mereka sudah menamatkan pelajaran kelak, mereka akan mendapat jawatan dan gaji yang tinggi. Apabila sudah mendapat pekerjaan yang baik dan bayaran yang lumayan, mereka dapat meninggikan taraf hidup mereka sedangkan bangsa melayu hanya mengharapkan pihak kerajaan terus memberi keistimewaan untuk meninggikan taraf hidup. Bangsa melayu tidak pandai menggunakan peluang yang diberikan. Begitu juga dari segi ekonomi. Bangsa melayu memang jauh ketinggalan berbanding bangsa lain. Sikap dengki mendengki, iri hati dan tidak mahu orang lain lebih maju yang wujud di kalangan bangsa melayu menambahburukkan lagi keadaan. Jika bangsa melayu bersatu dan menggunakan peluang serta keistimewaan yang diberikan, walaupun tidak dapat berada jauh di hadapan di dalam bidang ekonomi sekali pun, sekurang-kurangnya dapat seiringan dengan bangsa lain yang ada di negara kita ini. Marilah kita contohi cara bangsa lain memajukan diri. Rebut peluang yang ada dan sentiasa pandang ke hadapan. Jangan biarkan bangsa melayu terus ketinggalan. Kembalikan kegemilangan bangsa melayu dan jangan biarkan ia terus tercicir serta hanya tinggal menjadi kenangan di dalam lipatan sejarah. Short URL: http://www.suaragenerasibaru.com/?p=7076

No comments:

Post a Comment