Saturday, May 21, 2011

Kena seksa kerana kahwin lari

MOHD AZHAR mengalami kecederaan parah dibelasah di Sungai Petani, awal pagi kelmarin.
MOHD AZHAR mengalami kecederaan parah dibelasah di Sungai Petani, awal pagi kelmarin.
Sekumpulan 40 orang ikat lelaki pada tiang rumah, dibelasah lebih sejam

SUNGAI PETANI: Seorang pemuda berusia 31 tahun diikat pada tiang rumah sebelum dibelasah dan dicucuh dengan puntung rokok gara-gara bernikah dengan teman wanitanya di Thailand, dalam kejadian di Kampung Simpor Tambang, Kota Kuala Muda, di sini, awal pagi kelmarin. 

Dalam kejadian itu, mangsa, Mohd Azhar Aziz, dilucutkan pakaian hingga tinggal seluar dalam, dipukul dengan tangan dan kayu serta diseksa lebih sejam oleh sekumpulan 40 orang dipercayai ahli keluarga isterinya dan penduduk kampung terbabit, kira-kira jam 2 pagi.
Berikutan itu, Mohd Azhar cedera dan lebam di seluruh anggota badan termasuk kedua-dua mata serta menerima lebih 20 jahitan pada bahagian muka, tangan dan kaki.


Menceritakan kejadian itu, Mohd Azhar berkata, beliau dan isteri yang baru dinikahinya seminggu lalu, didatangi sekumpulan enam lelaki menaiki kereta dan motosikal di rumah mereka di Taman Orkid, di sini. 

“Lelaki terbabit bertindak memecah masuk ke dalam rumah sebelum memaksa saya masuk ke dalam kereta dan dibawa ke Kampung Simpor Tambang manakala isteri saya dibawa dengan kereta berasingan. 

“Sebaik tiba di kampung itu, saya dapati ada kira-kira 40 orang penduduk kampung termasuk saudara isteri saya sebelum mereka membogelkan saya hingga tinggal seluar dalam dan diikat pada tiang sebuah rumah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Mohd Azhar berkata, beliau dipukul dengan kayu dan tangan, malah dicucuh puntung rokok sehingga tidak bermaya. 
“Selepas menanggung sengsara lebih sejam, mereka melepaskan saya sebelum saya menghubungi polis dan memaklumkan saya terbabit dalam kes culik,” katanya. 

Beliau berkata, isterinya yang berusia 23 tahun bersetuju bernikah di Thailand kerana tidak mahu berkahwin dengan jejaka pilihan keluarga. 

“Sebaliknya, isteri memilih saya kerana kami sudah saling mengenali sejak lima tahun lalu. Malah, sebelum kami bernikah di Thailand, isteri saya membuat laporan di Balai Polis Kangar memaklumkan beliau secara sukarela mengikut saya untuk bernikah di sempadan,” katanya. 

Mohd Azhar berkata, beliau kehilangan sebuah telefon bimbit, MyKad, kad juru wang automatik (ATM) dan lesen memandu dalam kejadian itu. 

Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, di sini, malam kelmarin. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kes itu dan siasatan sedang dijalankan. 

No comments:

Post a Comment