FENOMENA PENGGANTIAN GENERASI RAJA MEMBAWA ISLAH KEPADA NEGARA
Kami Warga Prihatin merafak kesyukuran kepada Tuanku Sultan Dr. Nazrin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah atas pengishtiharan sebagai Sultan Perak yang ke 35 pagi semalam. Seluruh negara berdukacita dengan kemangkatan ayahanda baginda Tuanku Sultan Azlan Shah yang menghembuskan nafas terakhir di IJN pada tengahari Rabu, 28 May 2014.
Ganti demokrasi ialah kesultanan (monarki) dan itu tidak dapat kita nafikan. Sebab itu British sanggup datang dari kejauhan menyambung legasi rakan sekutu mereka. Adakala nampak mereka itu macam seteru tetapi mereka tetap bersekongkol dalam memisahkan Islam dari sistem pengaturannya yang sempurna.
Dari tahun 1511 kita dijajah oleh Portugis lalu 1614-1825 berganti tangan kepada Belanda lalu bertukar pula kepada British. Wilayah Kesultanan Melaka asalny adalah satu wilayah yang sangat gagah dan luas kekuasaannya, dari Selatan Filipina sehingga ke Lautan Hindi. Empayar Kesultanan Islam Melaka menjadi tulang belakang kepada kemasyhuran kerajaan kekhalifahan yang pada ketika itu baru beralih paksi dari Mesir ke Turki Ottoman. Dari mana unsur kekuatan itu? tentunya dari sistem beraja yang asli dan Islamik.
Kemaraan musuh Islam di Timur Tengah dan wilayah-wilayah di Eropah mula dilemahkan dengan nasionalisme yang mempromosikan kemerdekaan sehingga wilayah Islam terpecah dari satu pengaturan khalifah menjadi apa yang digelar ‘merdeka’. Kemerdekaan itu ditiupkan kepada wilayah-wilayah Islam yang mengecil dan berselerak agar Islam kurang kuat jadinya.
RAHSIA SEJARAH
Bertahun-tahun kami mengkaji dan meneliti. Bukan untuk mendapat harta, pangkat atau sebarang imbuhan diri. Bukan juga untuk mendapatkan degree maupun PhD. Kami gali semua rahsia ini untuk mencari di mana sebenarnya punca kejatuhan umat ini. Anak cucu yang bakal ditinggalkan harus tahu ke mana haluan harus dituju.
Semua misi menjatuhkan Islam tidak akan terlaksana sekiranya “Abang Besar” yang menjadi hub Tamadun Islam Nusantara iaitu Melaka beraja itu tidak dilumpuhkan. Maka 5 kuasa besar dunia iaitu Portugis, Perancis, Belanda, Sepanyol, British semua digembeling untuk menekan Melaka (Nusantara) agar tidak lagi mampu bangkit melawan semula kejatuhan Islam di Timur Tengah yang juga mereka taja.
Pelayaran melalui pesisiran untuk ke Tanah Khalifah sudah tidak mungkin berlaku kerana Syarikat Belanda dan Syarikat Hindia Timur Inggeris telah berjaya bertapak menjadi GATE KEEPER di laluan utama untuk memintas sebarang kebangkitan membela empayar Ottoman jika ia dijatuhkan.
Sejarah di sekolah tidak selengkap jika kita dapati dari buku-buku catatan penjajah juga. Sejarah itu hanya kita pelajari untuk menduduki peperiksaan dan bukan untuk kita kenal jatidiri kita sebenar. Kuasa besar yang bersekutu itu telah melumpuhkan 'pembela utama Islam' yang kemudian berjaya mereka robohkan dengan penawanan Kota Melaka.
JIKA ROBOH KOTA MELAKA, PAPAN DI JAWA 'KAMI' DIRIKAN.
Memang benar, inilah sirah Nusantara yang menuntut penyatuan, secara 'kami', bukan AKU. Dari kejatuhan Melaka sebagai pusat ketamadunan Islam Nusantara, ia telah berpindah ke Demak di Tanah Jawa. Akhirnya, Islam terus dilemahkan dengan pengutusan seorang Mubaligh dari Laden University Belanda, bernama Snauck Hurgronje atau mulia dengan panggilan Kiyai (palsu) Haji Abdul Ghafur.
Beliau telah berjaya memikat hati penguasa Islam ketika itu sehingga dirinya (yang bukan Islam) dilantik menjadi mufti. Metodologinya mudah,mereka PISAHKAN ISLAM DENGAN SAINS kerana jika kedua duanya bersatu maka majulah Islam dan mereka tidak akan dapat menaklukinya. Umat Islam disogok sampai percaya kepada perkara tahyul dan hanya menghitung-hitung pahala semata-mata.
Kerana itu, amal sudah bukan lagi untuk mencari mardothillah tetapi untuk mengambarkan bilangan pahala virtual untuk dibawa ‘pulang’ selepas mati nanti. Islam ketika itu berjaya dibawa hanya gemilang RITUALNYA di masjid dan surau tetapi tidak secara sains AKTUALnya, samada teologi, ekonomi, sosiologi maupun teknologi.
Ujian akhir kepada Islam ketika itu ialah dengan mengeluarkan fatwa bodoh iaitu “tanam terung boleh masuk syurga”. Itu juga diikuti buta-buta oleh orang Islam yang tertipu ketika itu akibat taksub, mengikuti doktrin berdasarkan PARAS dan PERSONALITI penyampainya saja. Menggunung terung di buangan sampah kerana terung ditanam untuk dapat pahala, untuk masuk syurga, bukan untuk dimakan. Itu satu kejayaan Snauck. Misinya berjaya lalu beliau pulang semula ke negara asal sebagai seorang mubaligh Kristien semula.
Hari ini juga berlaku, pantang berjubah dan berjanggut serta bertanda sujud di dahi, sudah dipanggil ustaz, apatah lagi yang suara sedap dan pandai melawak dan menyanyi. Apa sahaja yang dikatakan semuanya diterima sebagai betul, tanpa merujuk Quran dan hadis lagi.
Islam jadi rendah pada hari ini kerana semuanya sekadar memikirkan magik semata-mata. Kita tidak fikir yang Nabi Muhammad SAW juga cedera parah semasa berdakwah atau pertempuran perang. Tiada magik seperti yang berlaku seperti hari ini. Dalam perang pun ada siasahnya, jika diukur tidak sesuai kekuatannya Allah perintah kita berundur dahulu. Nabi SAW berhempas pulas menegakkan agama, berhabis harta, tenaga dan jiwa. Bukan sekadar BILANG TASBIH, nyanyi-nyanyi dan ceramah politik sahaja.
Hari ini, umat Islam boleh sengaja merempuh kereta kebal lengkap bersenjata api. Terasa kuat dan berani dengan melaungkan “Allahuakhbar” lalu digilis dengan kereta kebal itu atau dibedil. Mati lagi dan lagi orang Islam yang mengharapkan magik semata. Walhal kuasa Allah itu wujud setelah kita lakukan yang terbaik. Jika sekadar mengharap kuasa Allah, nanti orang Islam bakal jadi tuan, dan Allah pula menjadi orang suruhan manusia (nauzubillah).
KESULTANAN DIGANTI DEMOKRASI
Kekhalifahan Islam mewariskan monarki yang perlantikan Maliknya (raja) adalah melalui syuro ulamak. Ulamak mereka pula bukan macam ulamak sekarang di mana satu orang individu sudah boleh jadi ulamak dan sibuk mengeluarkan fatwa. Ulamak itu sendiri bermaksud “orang-orang alim” yang bermajlis. Ia satu kata PLURAL (jamak) dan bukan singular.
Ulamak dahulu terdiri dari ORANG-ORANG ALIM. Siapa itu orang-orang alim? Alim itu BERILMU dan orang-orang alim itu mudahnya ialah PAKAR-PAKAR. Jemaah pakar dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, perniagaan, politik, sosiologi, pelayaran, pertahanan, perubatan dan macam-macam lagi akan mengadakan syuro bagi memilih dan menasihati Malik (Sultan).
Sultan itu pula akan membawa suara syuro sebagai pemutus dan bukan diktator. Ingat semula sejarah. Mengapa sewaktu British datang campurtangan di Tanah Melayu, perkara pertama mereka serang ialah INSTITUSI BERAJA? Kerana mereka tahu di situ ada KUNCI kekuatan JEMAAH ULAMAK mereka yang dibawa oleh Sultan.
Akhirnya penyelewengan dan huru hara sengaja dicetus dan ditaja. Kemudian mereka datang sebagai pendamai lalu melantik diri menjadi RESIDEN BRITISH yang menasihati raja dan nasihat itu WAJIB dipatuhi. Raja mula menjadi boneka British apabila kuasanya dihadkan kepada Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu sahaja. Residen British juga berjaya mengambil alih fungsi majlis syuro yang mengatur raja menjadi majlis residensi.
Itulah permulaan Raja yang hilang kuasa, sekadar menjadi perlambangan ketuanan Melayu dan mengurus ritual agama sahaja. Itupun, pada hari ini ada perjuangan politik yang mahu memansuhkan satu-satunya lambang yang tinggal tanpa kajian mendalam. Seperti sebuah kereta mercedes yang kini hanya tinggal lambangnya sahaja sedang keretanya semua sudah tidak lagi berfungsi.
Scenario itu telah sekian lama menyerap ke dalam amalan kita sampai kini kita sudah tidak tahu lagi di mana puncanya. Golongan muda yang tidak berpeluang mengenali sejarah lebih teruk lagi. Itulah mereka yang beraksi sebagai keyboard warrior, yang telah hilang akhlak dan tatasusila kerana mereka hanya belajar melalui skrin komputer dan alam maya. Apa itu disiplin TALAQQI sudah tidak mereka ketahui.
Generasi ini telah dirosakkan melalui sistem pendidikan yang ditaja dengan jayanya melalui prinsip demokrasi sehingga hilang jatidiri. Mereka ada kalanya jadi brutal dan amat kurang ajar sekali. Ilmu boleh mereka dapat, namun keberkatannya tiada. Mereka jadi pemberontak dan mudah hilang pertimbangan. Api kemarahannya amat mudah menyala.
Sedarlah wahai bangsa Malaysia, khususnya umat Islam semua. Demokrasi telah menjadikan kita menjadi liar berhujjah dan hilang jatidiri. Ia menaja penubuhan parti dan perpecahan (part), menyemarakkan ketaksuban, api kemarahan dan menggalakkan rasuah serta salahguna kuasa.
Kemudian demokrasi dan penajanya akan datang dan menjadi pengadil. Kita buat provokasi sehingga berlaku perbalahan, kemudian kita kata sana zalim, sini jahat. Kita taja perpecahan dan kita seru penyatuan. Kita hulur rasuah lalu kita kata mereka pecah amanah. Kita beri wanita, kita rakam dan kita dedahkan untuk mengatakan mereka kaki seks. Kita suruh orang berpuasa, tapi atas dasar demokrasi kita sendiri mengaut laba dan membazir dana. Begitulah 1001 macam tajaan demokrasi yang merosakkan.
SISTEM ISLAM MEMERLUKAN FUNGSI MONARKI - MELAYU TIDAK HILANG, CINA/INDIA TIDAK RUGI
Pengembalian FUNGSI dari Sistem Beraja yang 'sebenar' sudah mula terbit. Raja-raja muda yang menaiki takhta menggantikan generasi bapa-bapa mereka sebelum ini kelihatan agak agresif, terpelajar dan berprinsip. Kita sudah nampak beberapa istana negeri yang tiba-tiba tegas berdiri menentukan siapa Memanda Menteri Besar negeri pilihannya. Contoh ini telah berlaku di Terengganu, Perak dan Perlis.
Sultan Kelantan contohnya, juga berjaya meniupkan satu revolusi raja yang disenangi rakyat dengan sifatnya yang merendah diri dan bergaul ke peringkat tanah dan lumpur. Tuanku Sultan Dr. Nazrin Shah juga satu ikon yang sebelum ini berani menyatakan pendangan politik beliau menyokong yang benar dan menolak yang tidak. Kini Sultan Johor pula bangkit untuk menuntut kembali hak Pulau Batu Putih. Ketegasan Sultan Brunei sudah sememangnya jelas di mata.
Ya memang ada kelemahan sebelumnya, namun mereka juga manusia yang perlu ISLAH, perlu dididik, dibimbing dan dibina. Kami lihat itu semua dari sudut positif. Sultan yang dahulu hilang kuasa eksekutif mula menunjukkan yang mereka juga berkeinginan untuk turut sama dalam membangunkan agama dan negara, bukan sekadar ritual sahaja. Mereka juga manusia yang berpendidikan dan mempunyai pendedahan yang luas dan menginginkan kekuasaan Islam itu bertapak semula.
Revolusi itu semakin ketara sekarang, iaitu kebangkitan raja-raja untuk kembali kepada sistem monarki tulen bertonggakkan masjlis syuro ulamak yang ikhlas dan berwibawa. Itu akan mampu jadi pengganti kepada demokrasi yang mem’parti’kan manusia atau mudahnya memecahkan manusia untuk tidak bersatu. Itu BUKAN ISLAM kerana Islam adalah agama penyatuan. UMMATUN WAHIDAH.
Kita sedih bila dimomokkan dengan perangai raja-raja yang berpoya-poya dan menghabiskan wang negara. Dahulu hanya bukan Islam sahaja yang suka mengutuk raja, itupun secara curi-curi. Sekarang ia lantang dilaungkan oleh umat Melayu Islam sendiri secara terbuka. Kita semua lupa, Sistem Demokrasi hanya meletakkan mereka menjadi lambang tanpa portfolio pentadbiran. Siapapun di tempat itu akan merasa bosan tanpa kuasa eksekutif untuk merubah landskap dunia yang memeningkan hari ini.
Kembalikan monarki tulen, bukan lagi dengan sistem residen British, tetapi dengan majlis syuro yang mampu melantik, menasihat dan melucutkan kuasa raja. Kuasa itu ialah KUASA JEMAAH. Semuanya terkawal, terpantau dan adil.
Ingat semula, selepas British berjaya tukarkan majlis syuro kepada sistem residen. Kemudian mereka tinggalkan kita untuk tidak kembali kepada monarki bersama syuro ulamak ini. Mereka INSTALL kepada kita DEMOKRASI. Kemerdekaan diberi setelah mereka lihat pemimpin kita sudah lunak dengannya dan sanggup mengikut telunjuk mereka. Bukan kerana kita telah bebas untuk menentukan sistem pentadbiran kita sendiri. Demokrasi tidak mungkin akan menyatukan manusia...tidak mungkin sama sekali.
KESIMPULAN
Mana mungkin budaya DEBAT yang saling mencari kesalahan itu lebih baik dari kemurnian SYURO yang bertujuan untuk mencari penyelesaian dan penyatuan pendapat. Sama-sama kita fikirkan.
Kami dapat lihat bayangan kebangkitan Raja-raja yang bakal mengembalikan kekuasaan Islam dengan Raja yang adil kerana perjalanannya dibentuk oleh Syuro Ulamak yang tiada kepentingan dan agenda peribadi selain agenda Islam itu sendiri.
Jangan risau wahai saudara kami yang bukan Islam. Sejarah membuktikan bahawa sistem kerajaan Islam sangat membela dan memberi keselesaan hidup kepada mereka yang bukan Islam juga. Ini berbeza dengan negara bersistem selain Islam yang menganak-tirikan agama-agama selainnya. Islam itu bermakna sejahtera (salam) dan pasti kalian juga mahukan kesejahteraan melalui kesyumulan pemerintahan Islam yang sebenar.
Islam untuk umat dunia – jadi jangan khuatir ia akan rasis.
Islam itu adil dan menentang asobbiyah (puak-puak) – jangan takut tertindas.
Islam mematlamatkan perpaduan – hanya dengan penyatuan sahaja kita akan jadi kuat dan mampu hidup bekerjasama, saling tolong menolong dan berkasih sayang. Yang bukan Islam tidak sesekali akan dipaksa beragama dengannya.
Islam itu adil dan menentang asobbiyah (puak-puak) – jangan takut tertindas.
Islam mematlamatkan perpaduan – hanya dengan penyatuan sahaja kita akan jadi kuat dan mampu hidup bekerjasama, saling tolong menolong dan berkasih sayang. Yang bukan Islam tidak sesekali akan dipaksa beragama dengannya.
Kita hanya perlukan raja yang berfungsi dengan 'sepenuhnya' sepanjang hari, dinasihati oleh para ulamak yang mengabdi dengan ilmu tuhannya, juga dilaksanakan perintahnya oleh memanda menteri serta sekalian rakyat jelata. (MAALIKI YAUMIDDIN. IYYAKA NAKBUD. WAIYYAKA NASTA’IN – Fatihah: 4-6)
Daulat Tuanku
WARGA PRIHATIN
WARGA PRIHATIN
No comments:
Post a Comment