Kalau ikut cerita khabar angin bunyi macam situasi Barisan Nasional di Sabah sudah ' gawat darurat'.Macam-macam berlegar termasuk sudah pasti beberapa orang lagi orang kuat BN negeri itu akan melompat.
Malah Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tambah rencahnya kasi sedap dengan mendakwa akan ada lagi 'khabar baik' bagi pihak mereka di negeri itu.
Apa lagi kalau ini semua bukan perang saraf ekoran tindakan Timbalan Menteri Perumahan dan Ahli Parlimen Beaufort Datuk Seri Lajim Ukin dan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Bumburing berpaling arah masuk kolam pembangkang.
Betulkah BN panik dengan situasi yang dihadapi di negeri bawah bayu yang merupakan salah satu negeri fixed depositnya?
Keresahan dan kegelisahan memang sukar diselindung jika benar ia wujud.
Anwar dan kawan-kawannya mungkin gigit jari kalau ada kesempatan menjenguk suasana mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di PWTC yang diikuti dengan majlis berbuka puasa anjuran parti itu.
Datuk Seri Najib Tun Razak nampak steady sahaja.Begitu juga timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Setiausaha Agung UMNO/BN Datuk Seri Tengku Adnan Mansor tetap ceria macam selalu.
Juga tidak kelihatan tanda cemas pada raut wajah kalangan ahli Majlis Tertinggi UMNO yang hadir semasa mesyuarat itu.
Najib juga relaks sahaja menyambut soalan wartawan yang tentunya hendak tahu lebih isu Sabah.
Inilah sidang akhbar pertama dimana wartawan ada kesempatan bersoaljawab dengan beliau lebih lanjut sejak timbulnya isu Lajim dan Bumburing baru-baru ini.
"Setakat ini macam-macam khabar angin, desas-desus yang tersebar. Yang penting kita mampu menangani cabaran ini dan kita akan buat langkah-langkah yang sesuai untuk pulihkan keadaan dan mantapkan lagi kedudukan Umno dan BN," katanya ketika diminta mengulas dakwaan Anwar akan ada lagi 'berita baik' bagi puak mereka.
Beliau menjelaskan kedudukan Umno dan BN tidak akan tergugat dengan perletakan jawatan Lajim dan Bumburing serta isu melibatkan beberapa komponen parti di Sabah.
Beliau menegaskan Umno dan BN mampu menangani cabaran dengan mengambil langkah yang sewajarnya untuk memulihkan keadaan.
Ditanya sama ada isu itu akan melambatkan pilihan raya umum ke-13 , Najib berkata: "Ia tidak akan melambatkan rancangan untuk diadakan pilihan raya."
"Kita tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan. Sama ada tahun depan atau tahun ini. Tidak boleh menganggap ia (diadakan) tahun ini, boleh jadi tahun depan. Tidak boleh menganggap tahun depan, boleh jadi tahun ini," katanya.
Mengenai desas-desus bahawa Anwar menawarkan Lajim bertanding pada PRU-13 atas tiket pakatan pembangkang, Najib berkata: "Itu biasalah, itu kerja dia. Dia biasa buat janji macam-macam."
Mengenai perletakan jawatan Lajim selaku Ketua Umno Beaufort, Najib berkata berdasarkan perlembagaan parti, jawatan itu akan dipangku oleh timbalannya Isnin Aliasnih.
"Kita juga putuskan supaya Badan Perhubungan Umno Negeri Sabah mengawasi perjalanan Beaufort dan memberi apa-apa bantuan yang diperlukan untuk menentukan kekuatan Umno tidak terjejas," katanya.
Ditanya mengenai keanggotaan Lajim dalam Umno, Najib berkata ia akan melalui proses biasa di mana Umno masih menunggu jawapan surat tunjuk sebab daripada Lajim dalam masa dua minggu.
Pada 28 Julai lepas, Lajim mengumumkan perletakan jawatan sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi BN Beaufort berkuatkuasa serta-merta.
Bagaimanapun, beliau masih kekal sebagai anggota Umno.
Lajim yang mengumumkan perletakan jawatannya di Likas Jaya, dekat Kota Kinabalu, dilaporkan menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk menentukan kedudukannya sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Pada 31 Julai, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah memberi perkenan terhadap pembatalan pelantikan Lajim sebagai timbalan menteri itu.
Umno telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Lajim berhubung perletakan jawatannya dalam parti dan BN untuk dijawab dalam tempoh 14 hari bagi pertimbangan untuk tindakan seterusnya sebagaimana tertakluk dalam perlembagaan Umno.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata beliau akan ke Sabah untuk bertemu dengan rakyat dan pemimpin BN di negeri tersebut pada 11 Ogos ini.
Pada masa itu, beliau juga akan mengumumkan butiran mengenai Suruhanjaya Diraja Mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin di Sabah.
Sementara itu, ditanya mengenai persepsi umum terhadap kerajaan berhubung penahanan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, Mohd Rafizi Ramli, yang mendedahkan penyata akaun projek National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), Najib berkata beliau tidak boleh mengulas lanjut kerana ia sedang melalui proses mahkamah.
Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, sekiranya seseorang itu mempunyai maklumat sulit mengenai sesuatu, mereka seharusnya mendedahkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukannya kepada umum.
"..kerana jika anda dedahkan, anda menentang Bafia (Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan)...dan sebab kenapa Bafia wujud adalah bagi melindungi integriti dan kredibiliti sistem kewangan."
"..kerana sesiapa yang mempunyai akaun dalam sistem kewangan mesti merasai bahawa orang itu dilindungi dengan baik atau jika tidak orang ramai tidak akan menyimpan wang dalam sistem itu dan ini bertentangan dengan kepentingan umum.
"Tetapi ia tidak bermakna kita akan membenarkan amalan rasuah atau pengubahan wang haram kerana anda akan sentiasa mendedahkan maklumat berkenaan kepada pihak berkuasa yang berkenaan," katanya.-3/8/2012
No comments:
Post a Comment