Tuesday, July 21, 2015

‘Dr M bukan nak jatuhkan Najib sahaja, Umno pun’...bila Salleh tak Keruan bersuara.

SHAH ALAM - Speaker Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini sekali lagi membidas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubungan tekanan terbaharu yang dibuat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
Menurutnya, entri terbaharu blog Dr Mahathir berjudul ‘Conspiracy’ itu tidak jelas dan hanya kedengaran seperti mempertahankan diri.
 
“Kenyataan terbaharu Dr Mahathir di blognya tidak begitu jelas. Ia kedengaran seperti usaha mempertahankan diri dan cuba untuk menjelaskan tindakannya itu dengan membandingkan dengan apa yang kadang-kadang berlaku di negara lain.
 
“Malah ia seperti mengatakan bahawa memandangkan sesetengah negara menggunakan ketenteraan untuk mengguling kerajaan, jadi apa salahnya jika kita buat perkara sama di Malaysia,” katanya melalui tulisan di blognya, hari ini.
 
Semalam, melalui kemas kini blognya, Dr Mahahtir menafikan wujudnya konspirasi menjatuhkan Najib seperti yang dibangkitkan sesetengah pihak sebaliknya gesaan yang dibuat sebelum ini dilakukan secara terbuka.
 
Sementara itu, Salleh melahirkan kebimbangannya di mana Dr Mahathir tidak lagi menghiraukan sama ada keinginannya untuk menjatuhkan Najib itu akan turut menghancurkan Umno.
 
“Dr Mahathir kata beliau mahu perdana menteri letak jawatan untuk selamatkan Umno. Tapi banyak kenyataan Dr Mahathir, terutamanya hari ini, bukan untuk menyelamatkan Umno. Dr Mahathir sebenarnya mencoretkan gambaran negatif kepada Umno walaupun ia kelihatan seperti beliau menyerang perdana menteri bukan Umno.
 
“Saya bimbang keinginan Dr Mahathir menjatuhkan perdana menteri ini tidak lagi mengambil kira dalam proses sama dia akan menjatuhkan Umno juga. Ini yang orang Melayu sebut, marahkan nyamuk, bakar kelambu,” katanya.
 
Beliau turut mengulas soal Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang didakwa Dr Mahathir sebagai ‘membeli undi’.
 
“Dr Mahathir menyamakan BR1M sebagai beli undi. Ada juga yang mengatakan perkara sama terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB). Jika DEB berakhir pada 1990 seperti dirancang, ada kemungkinan yang kuat bahawa Umno akan hilang kuasa dan kedudukan termasuk Semangat 46 ketika itu, mungkin akan diambil alih.
 
“Jadi, Dr Mahathir tidak menamatkan DEB kerana ia akan menyebabkan kemusnahan Umno dan beliau menyambung lagi 25 tahun hingga hari ini. Sementara sesetengah orang memanggilnya pelan tindakan afirmatif tapi orang lain memanggilnya beli undi,” katanya.

No comments:

Post a Comment