Sunday, April 15, 2012

LUAHAN IKHLAS PEMIMJAM PTPTN...APA TINDAKAN ANWAR IBRAHIM TENTANG PERKARA INI???








SAYA masih ingat semasa menjadi pelajar di universiti dulu. Datang pula dari keluarga yang bukan senang. Saya masih ingat ibu terpaksa pajak barang kemasnya untuk membiayai saya masuk universiti. Setiap bulan atau kadang-kala setiap minggu, pada siapa lagi yang boleh saya minta wang saku jika bukan dari bapa saya (yang kini sudah tiada).


Ada masa saya keputusan wang. Rakan-rakan sayalah tempat saya mengadu. Terpaksa tebal muka. Ada juga senior yang simpati memberi wang. Terima kasih kepada rakan-rakan, yang ada menghalalkan wang sumbangan mereka itu. Mereka itu kini ada yang sudah menjadi ahli perniagaan berjaya dan berjawatan tinggi.

Itu kisah saya pertengahan tahun 80-an dulu. Namun cabaran kini lebih getir lagi. Semuanya memerlukan wang. Anak sulung saya juga berada di universiti tempatan. Dia tidak mengambil Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Saya membiayainya sendiri, namun terasa perit kerana perbelanjaannya cukup tinggi.

Jika saya berasal dari Cherok Tok Kun, Cherok Bemban, atau mana-mana cherok (cherok dalam bahasa Utara bererti hulu, pedalaman atau tempat jin bertendang), maka anak saya tiada pilihan selain terpaksa meminjam dari PTPTN.

Anak-anak Melayu yang masuk ke universiti awam tempatan bukan semuanya senang. Rata-rata mereka berasal daripada keluarga miskin. PTPTN yang diilhamkan oleh ayahanda pemodenan Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad bermatlamat untuk membantu anak-anak ini belajar dengan selesa di menara gading.

Anwar Ibrahim sedar mengenai hal ini. Beliau ialah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan semasa idea dan pelaksanaan PTPTN dilaksanakan.

Semasa saya belajar dulu, tiada PTPTN. Jika ada sudah tentu saya antara salah seorang budak Melayu miskin yang akan memohonnya. Dan setelah saya bekerja, maka saya akan membayar balik pinjaman itu. Atau jika saya mendapat Ijazah Kelas Pertama, maka ia akan ditukar menjadi biasiswa, tak perlu bayar. Namun saya bukanlah kategori itu, maka atas kesedaran itu, saya perlulah membayar balik pinjaman yang diambil.

Jadi, itu tidak menjadi hal. Orang Melayu bukanlah bangsa yang mahu semuanya free. Kita juga ada maruah. Saya tidak pasti macam mana timbulnya idea geliga Anwar meminta dihapuskan sahaja bayaran balik PTPTN kepada kerajaan. Seperti yang kita ketahui, itulah Anwar. Kaki putar alam demi kepentingan dirinya, partinya dan cita-citanya untuk menjadi PM. Dia gemar mencari isu popular untuk kepentingan dirinya.

Namun, dalam masa menulis kolum ini saya mendapat maklumat yang cukup memalukan. Universiti dan institusi pengajian tinggi yang dikuasai oleh kerajaan pembangkang, termasuk Selangor yang Anwar sebagai Penasihat Ekonominya masih menerima kemudahan PTPTN daripada Kerajaan Pusat untuk disalurkan kepada para pelajarnya — Melayu, Cina dan India — yang miskin dan yang memerlukannya.

Jumlahnya juga besar (lihat carta): Universiti Selangor (yang dulu diasaskan oleh kerajaan BN) adalah antara penerima tertinggi di seluruh negara iaitu sebanyak RM851,294,429.90 iaitu hampir RM1 bilion. Ia digunakan untuk faedah sebanyak 25,649 pelajar universiti itu sejak kewujudan PTPTN pada tahun 2000 sehingga 31 Mac 2012.

Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) pula menerima sebanyak RM369 juta 977,659.00 untuk kemudahan sebanyak 13,763 pelajar miskin.

Unisel dan KUIS, yang ditubuhkan oleh kerajaan BN terdahulu, kini (kononnya, tolong betulkan jika saya salah) menjadi markas kuat penentang kerajaan Pusat pimpinan BN.

Sementara itu, satu lagi negeri pimpinan pembangkang, iaitu negeri kelahiran saya, Kedah turut menerima kemudahan faedah daripada PTPTN. Kolej Insaniah, sebuah kolej kecil, menerima kemudahan PTPTN sejak dari tahun 2000 sehingga 31 Mac 2012. Sebanyak RM266 juta 229,500.00 telah disalurkan untuk kemudahan sara hidup dan pengajian bagi 5,900 pelajarnya. Rata-rata semua pelajarnya mengambil kemudahan tabung itu.

Kita hairan jika Anwar beria-ia mahu supaya hutang itu dimansuhkan, kenapa tidak dimulakan pemansuhan PTPTN untuk institusi di bawah jagaannya berkuat-kuasa serta-merta.

Jika beliau merasakan bentuk pinjaman itu sebagai zalim dan mahafiraun — maka kita mahu melihat kemudahan PTPTN oleh kerajaan Pusat itu dimansuhkan untuk ketiga-tiga institusi tersebut dahulu.
Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai hal ini kerana saya mahu pembaca sekelian membaca satu posting menarik yang ditulis oleh bekas MB Selangor, Dr. Khir Toyo mengenai perihal Anwar dan PTPTN ini di bawah tajuk Hipokrasi Anwar dan Wajah PTPTN Yang Perlu Diubah.

PTPTN bagi saya perlu diteruskan dan hanya perlu ditambah-baik dan diperhalusi dari segi sistem pengendaliannya. Ikuti entri dalam blog Dr. Khir pada bulan Februari lalu http://www.drkhir.com/2012/02/hipokrasi-anwar-dan-wajah-ptptn-yang.html
Hipokrasi Anwar dan Wajah PTPTN Yang Perlu Diubah

BARU-BARU ini saya berjumpa dengan sekumpulan mahasiswa yang begitu terpengaruh dengan janji Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghapuskan pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Mereka yang terpengaruh dengan janji Pakatan ini tidak memahami sejarah dan pemimpin yang mewujudkan PTPTN sendiri.

Apabila Anwar mengumumkan beliau akan menghapuskan pinjaman PTPTN mereka bersorak sakan tanpa melihat asal usul kemunculan dana ini.

Pada awal 1991, Perdana Menteri Keempat, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (Tun) mengumumkan pelan jangka panjang Wawasan 2020 iaitu ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang berasaskan kepakaran dan teknologi serta mewujudkan rakyat berpendapatan tinggi. Justeru, mahu tidak mahu jumlah pelajar pengajian tinggi juga perlu ditambah dengan banyaknya agar selari dengan hasrat Wawasan 2020 itu.

Selain itu, perkembangan pesat Institut Pengajian Awam dan Swasta, kemunculan begitu ramai pelajar yang lulus cemerlang dalam pengajian peringkat menengah sejak penghujung alaf lalu menyaksikan kerajaan tidak lagi mampu menyediakan peruntukan yang besar dalam pemberian pinjaman dan biasiswa melalui Jabatan Perkhidmatan Awam seperti sebelum itu.

Atas sebab itulah kerajaan menubuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566).
Hipokrasi Anwar Ibrahim.



Oleh Zaini Hassan

No comments:

Post a Comment