Monday, April 9, 2012

Kongres Melayu Pulau Pinang Desak LGE Serahkan Balik Tapak Masjid

Kongres Melayu Pulau Pinang Desak LGE Serahkan Balik Tapak Masjid
Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) hari ini menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menggunakan dua mekanisme bagi mengembalikan tapak masjid dan sekolah di tanah Bayan Mutiara ke tempat asalnya.
Presiden KMPP, Rahmad Isahak berkata dua mekanisme yang boleh diambil oleh Lim adalah dengan membuat pengambilan tanah atau pihak pemaju atas oligasi mereka sendiri menyerahkan semula kedua-dua tapak berkenaan kepada kerajaan
negeri.
"Sebagai kerajaan berjiwa rakyat yang dilaungkan oleh YB Ketua Menteri, kembalikanlah hak rakyat, hak orang-orang Islam dan hak rakyat di atas tapak masjid dan sekolah.
"Masih tidak terlewat kerana tidak ada pelan yang dikemukakan oleh pihak pemaju. Ia masih di peringkat draf perancangan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata pada masa yang sama Ketua Menteri itu juga perlu memohon maaf secara terbuka di atas kesilapan kerajaan negeri menjual 'tanah emas' Bayan Mutiara kepada pemaju swasta.
Rahmad berkata isu itu perlu diselesaikan segera memandangkan perkara itu akan mengundang kemarahan rakyat negeri ini.
Pada masa sama, Rahmad turut mendesak Timbalan Ketua Menteri Datuk Mansor Othman dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Abul Kasim tampil memberi kenyataan berhubung isu itu dalam tempoh 24 jam.
Beliau berkata KMPP akan mendesak mereka meletakkan jawatan sekiranya gagal berbuat demikian dalam tempoh yang diberikan.
"Mengapa mereka mendiamkan diri atas isu tersebut? Jangan cuba melepaskan batuk di tangga yang diibarat seperti membaling batu sembunyi tangan. Jangan hanya memberikan kenyataan menerusi ceramah-ceramah.
"Itu tidak akan berhasil kerana yang hadir hanyalah golongan-golongan yang menyokong PKR (Parti Keadilan Rakyat) sahaja," katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment