Saturday, May 21, 2011

BN bakal hadapi saingan sengit

 MUHYIDDIN   berbual dengan Imam Masjid Tok Bandar Pulai, Abdullah Awang Kechik selepas menunaikan solat Jumaat, semalam.
MUHYIDDIN berbual dengan Imam Masjid Tok Bandar Pulai, Abdullah Awang Kechik selepas menunaikan solat Jumaat, semalam.
Parti pembangkang dijangka bertanding agresif pada PRU13: Muhyiddin

BALING: Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang dijangka paling sengit bakal dihadapi Barisan Nasional kerana parti-parti pembangkang yang bertanding sangat agresif, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, berdasarkan pengalaman dilalui BN pada 16 pilihan raya kecil sebelum ini dengan persaingannya amat sengit, maka bukan mudah kerana rakyat mahukan parti yang memberi perkhidmatan lebih berkesan.
“Pilihan raya umum akan datang ini akan menjadi pilihan raya paling sengit dalam sejarah kita... permainan politik dah tak seperti biasa. Ini perlu disematkan dalam fikiran kita. Ia menuntut kita membuat persiapan lebih rapi untuk hadapi parti lawan yang pastinya agresif.


“Di Kedah misalnya, PAS tidak akan memberi laluan mudah untuk kita merampas kembali negeri ini dan mereka akan mempertahan-kannya bermati-matian," katanya merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Baling di sini, semalam. 

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim. 

Sehubungan itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO mahu setiap pemimpin dan ahli parti itu supaya menyelesaikan apa juga masalah yang ada di peringkat bahagian mereka dengan mengetepikan soal hendak merebut jawatan atau siapa mahu menjadi calon pilihan raya. 

Katanya, ahli UMNO juga perlu melihat parti secara lebih serius lagi dengan mengutamakan kepentingan perjuangan bangsa dan agama melebihi kepentingan peribadi. 
Beliau berkata, walaupun tahap sokongan dan keyakinan rakyat serta ahli UMNO kepada parti itu semakin baik selepas tiga tahun berlalunya tsunami politik pada pilihan raya umum 2008, ahli parti perlu berusaha keras untuk memastikan UMNO dan BN terus dapat membentuk kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat. 

"Di Kedah misalnya, semangat ahli UMNO sudah kembali kuat, semangat pemimpin di semua peringkat juga sudah kembali baik, berbanding dua tiga tahun lalu. 

"Kita harus semarakkan iltizam kita untuk menentukan kejayaan kita dalam pilihan raya nanti... kita perlu istiqamah bahawa ia satu perjuangan suci demi membela nasib bangsa Melayu dan agama Islam," katanya. 

Timbalan Perdana Menteri juga menekankan betapa pentingnya UMNO mengekalkan kuasa politik kerana tanpa kuasa tiada apa yang mereka boleh lakukan untuk parti dan rakyat. 

No comments:

Post a Comment